Social Icons

Saturday 25 February 2012

Itsar itu bahagia

Bismillahirrahmanirrahiem... Assalamualaikum...


Suadara/i yang dirahmati Allah... Berjanjilah senyuman untuknya...


 Bila dibaca intro entri ini mesti pelik, kenapa perlu menjanjikan senyuman? dan pada siapa perlu dijanjikan? Tapi mohon jangan salah faham dahulu, niatnya cuma ingin mengetuk pintu suci dalam hati saudara/i. Dalam kehidupan seharian, kebanyakkan prioriti nombor satu adalah untuk membahagiakan hidup kita dan orang-orang yang kita sayangi. Sehinggakan untuk menemui manusia yang berkorban untuk menyenangkan orang lain, seperti mencari jarum dalam lautan padang pasir.

   Agak bingung? masih kurang jelas? jangan terburu-buru untuk menutup tetingkap blog ini dulu. Mari kita tanyakan hati kita. Sekiranya diberi pilihan, samada kepentingan kita atau kepentingan orang lain. Mana yang lebih kita utamakan? sekiranya pilihan anda adalah kepentingan sendiri, maka anda adalah sasaran utama entri kali ini.



   Pembaca yang dirahmati Allah, Imam Hassan Al-Banna pernah menukilkan di bibirnya satu untaian kata yang sangat menarik ;

"Berikanlah cinta, nescaya kamu akan memetik cinta"

Ada apa di sebalik untaian di atas?. Di situ tersembunyi satu rahsia kebahagian hidup. Mencintai dahulu saudara kita, agar dia mencintai kita. Tapi saudaraku, ada lagi keindahan yang tidak boleh ditemui dengan mudah di balik untaian tersebut. Keindahan itu ada rahsia lain.

   Rahsia untuk hidup sebagai muslim yang berjiwa bening, dan berhati jernih. Kunci utamanya satu. Yakni ;

"ITSAR"


   Kita telusuri hutan itsar dengan memahami terlebih dahulu maknanya. Itsar ini adalah akhlak khas seorang mukmin, iaitu "Mendahulukan kepentingan orang lain". Ia disimbolikkan dengan penyerahan nikmat duniawi yang kita miliki kepada saudara muslim yang lain agar dia bersenang-senang dengannya, sementara kita tidak merasakannya. Ia bererti kita menyerahkan sesuatu yang sukai kepada saudara yang lebih memerlukan. Kurang jelas?, mungkin contoh dapat membantu. Jadi  bersedialah untuk takjub dengan manifestasi itsar di tahap tertinggi yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah.


   Saad bin Rabi' seorang ansar pernah menawarkan kepada Abdurrahman bin Auf yang merupakan  seorang sahabat muhajirin yang pada ketika itu cuma sehelai sepinggang tiba di Madinah.
   Dia berkata, "Wahai saudaraku, inilah harta kekayaanku selama ini, aku ingin membahaginya kepada 2, untukmu dan untukku, setengah rumah ini juga milikmu. Aku juga mempunyai 2 isteri, akan ku datangkan kepadamu, pilihlah mana yang kau sukai. Aku akan menceraikannya. Setelah tamat idahnya boleh la kau menikahinya..."
   Tapi dibalas tenang oleh Aburrahman bin Auf,
"Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Di mana letaknya pasar?."


 Menawarkan harta, rumah bahkan isteri. Isteri yang dia tawarkan pula bukan dari pilihannya, bahkan dia menyuruh saudara barunya untuk memilih sendiri.


Lagi, ini mengenai Abu Talhah dan Ummu Sulaim.


  Abu Talhah menjemput tetamu Rasulullah ke rumahnya atas kekurangan mampu Rasulullah untuk menjamunya. Sampainya di rumah, bertanya kepada isterinya, "Apakah kita mempunyai makanan?" Isterinya menjawab, "Tidak, yang ada hanya cukup untuk anak-anak kita sahaja.". Lalu berkatalah sahabat mulia ini, "Sibukkanlah anak-anak, jika mereka ingin makan malam, ajaklah mereka tidur. Bila tamu kita datang, letakkanlah makanan itu dan padamkanlah lampu, supaya mereka beranggapan kita makan bersama-samanya agar mereka mahu makan, dan letakkanlah makanan itu di depan mereka."
  Setibanya tetamu itu, mereka  pun duduk dan makan dalam gelap dengan menyangka sedang makan bersama Abu Talhah tapi Abu Talhah tidak menyentuh apa-apa makanan pun.


  Menyediakan makanan untuk tetamu walaupun makanan itu disimpan untuk anak-anak, keperluan diri sendiri tidak dipenuhi tetepi tetap yakin dengan memberi keperluannya pada orang lain.


  Cuba kita renungkan sedalam-dalamnya, kita akan melihat itsar ini adalah sekutu kepada "pengorbanan". Pengorbanan yang dilakukan demi kebahagiaan orang lain kerana yakin kepada janji Allah.

sudah memahaminya?, jadi kita teruskan perjalanan kita.

   Contoh-contoh di atas bukanlah cerita dongeng, bahkan memang benar-benar sudah pernah berlaku. Tapi apa yang membuatkan mereka sanggup berkorban sedemikian? Ini kerana mereka menemui kemanisan dalam melakukannya. Ketahuilah saudaraku, manisnya itsar itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ia hanya mampu dirasai oleh hati yang jernih dan jiwa yang bening.

Cerita mengenai Abu Talhah di atas belum habis sebenarnya, ke esokkan harinya selepas solat subuh. Rasulullah datang kepadanya dan berkata.

 "Sesungguhnya Allah sangat takjub dengan perbuatan kamu berdua semalam,"

Subanallah...., Allah sendiri takjub dan redha kepada mereka. Betapa untungnya mereka atas imbalan itu. Imbalan yang setimpal dengan perbuatan mereka. Tidakkah kita mahu termasuk dalam golongan seperti itu...?

   Jadi apa lagi yang kita lamunkan, syiar yang ditanam Rasulullah ini sedang menuggu di lautan rindu. Marilah saudaraku, kita jadikan ia syiar hidup kita mulai detik ini. Sekiranya kita ada sesuatu yang sedikit, jika ada yang lebih memerlukan, serahkanlah ia tanpa ragu. Kerana Allah akan membayarnya. insya Allah!.

   Teringat satu sirah ketika perang Khandaq, Jabir bin Abdullah mempelawa Rasulullah SAW menjamu selera ke rumahnya, kerana makanan itu cuma sedikit, dia hanya mempelawa Rasulullah, tapi Rasulullah bahkan memanggil seluruh pasukan ketika itu untuk pergi bersamanya. Maka risaulah Jabir, kerana makanannya terhad dan tidak mungkin cukup untuk menjamu sepasukan tentera. Tapi ini adalah perintah Rasulullah, maka dengan penuh yakin, dia meminta tentera masuk ke rumahnya secara kumpulan sepuluh-sepuluh mengikut urutan. Kumpulan yang keluar digantikan dengan kumpulan yang lain tanpa putus-putus sehingga Jabir risau kerana makanan itu cuma sedikit. Tapi yang berlaku sebaliknya, setiap kumpulan keluar dengan perut yang kenyang bahkan menyela-nyela gigi mereka. Maka berkata Rasulullah kepadanya, "Wahai Jabir semoga Allah meberkahimu dan keluargamu pada makananmu." Ketika Jabir masuk, alangkah terkejutnya dia makanannya tetap seperti sedia kala. Yang kurang hanya sebahagian dari ayam.

   Allahuakbar... inilah mukjizat yang mengajarkan erti itsar. Ayuh, raihlah kekayaan hati dan kebaikan yang melimpah-ruah dengan itsar. Kerana ia akan memadam virus-virus yang merosak hati kita seperti sombong, dendam, dengki dari dalam hati. Kerana bila kita bersikap itsar, tujuan nombor 1 adalah keredhaan Allah dan akan membelakangkan keredhaan nafsu.

   Pasti akan muncul satu kegembiraan yang indah apabila saudara kita tersenyum atas nikmat yang kita hadiahkan  kepadanya. Maka, marilah kita bersama berazam untuk menjanjikan senyuman pada wajah saudara-saudara kita dengan itsar. kerana dari itsar yang ikhlas, berbondong-bondonglah keredhaan Allah dan pahala yang menggiurkan berkejaran pada kita. Janji dalam hati sudah mencukupi untuk menanam pancang semangat mengamalkan sikap itsar. Kita bermula dengan kecil-kecilan, menghadiahkan baju yang tidak lagi dipakai kepada rumah anak yatim, memberi tempat duduk dalam bas kepada orang tua, belanja kawan-kawan minum air suam dan macam macam lagi. Jangan risau andai itu kecil, ingatlah pokok yang besar juga berasal dari benih yang kecil yang penting keyakinan kita dengan ganjaran Allah.


   Bayangkan saja seluruh muslim di dunia ini berebut-rebut untuk bersikap itsar. Masya Allah... Pasti berwarna warni dunia ini dengan kasih sayang.



"Petiklah cinta Allah dengan pengorbanan benda duniawi yang kita cintai"

Selamat mengejar pahala....!!


"Ya Allah.. masukkan lah kami dalam 
kalangan yang turut berbuat yang 
tidak sekadar hanya pandai 
mengatakan..."



6 comments:

idris bin hasyin said...

Sudah lama tidak menulis... maafla sekiranya entri kali ini kurang difahami, silakan tegur... mudah2an saja teguran itu untuk kebaikan kita bersama.

Anonymous said...

belanja sahabat2 dgn air suam,.. nice..huhuh :)

idris bin hasyin said...

kita mula dengan kecil-kecilan... huhuhu.(^_^)

Heavenskeys said...

dulu-dulu menjaga kepentingan orang lain tu ditempat teratas dalam hati. tapi as days passing by, dia macam fade away jugak.

macam mana tu ya?

idris bin hasyin said...

assalamualaikum Heavensky... pndai fade away plak ya... hehe... sy bkannya org yg bijak pn, tp...

mgkin kita kena check balik niat kita dlam stiap kali kita "beritsar"... kita kena sucikan niat dari sbrang ktoran2 hati yg akn merosakkan amal. Utk mmstikan smngat kita xkan hilang, kerana kita cuma mnghrapkan redha Allah smata2.

lg satu mgkin juga dia dari segi istiqomah.. mmg berat utk istiqomah. Rasulullah SAW ketika dtrunkn ayat istiqomah kpdanya, dceritakan shingga beruban rmbutnya... maka kita plukan 1 kuasa utk trus berbuat. kita tgok ayat ["Sesungguhnya setiap "mukmin" itu bersaudara... [49:10]. trnyata di situ keterikatan persaudaraan(ukhwah) dgn iman sangat rapat... jd sekiranya kita ingin menjga ukhwah. kenalah jaga iman sekali... byak bnda yg boleh mnjaga iman kita yg sterusnya mmbersihkan hati... sperti baca Al-Quran, byakkan bristghfar n macam2 lg... ketahuilah saudaraku, iman itu adalah sumber kuasa yg terutama skali utk kita istiqomah dalam stiap amal.

lg 1, berdoalah utk istiqomah, n yakin dgn pahala yg djanjikan Allah... jgn melemah smangat ya...

huhu.. moga hidayah utk kita...

idris bin hasyin said...

itsar sgat berkait rapat dngn ukhwah... jom jaga ukhwah dgn itsar...